Wednesday, August 14, 2013

Taman Botani Putrajaya


Taman Botani Putrajaya terdapat lebih 700 spesis tumbuhan daripada benua-benua yang berbeza di dunia, taman yang menarik ini berfungsi sebagai kawasan perlindungan selain pusat pembelajaran dan kajian bagi khazanah negara yang tak ternilai. Fakta yang menarik tentang taman ini adalah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia tersenarai antara 40 buah taman yang tercantik di Asia oleh buku Paradise Found.


 Nyaman dan hijau dengan pemandangan kanopi hutan sepanjang 170 meter.




Perkhidmatan tram disediakan untuk mengelilingi taman ini. Bagi yang inginkan privasi bolehlah berbasikal.


Terdapat juga dunia bunga-bungaan yang menakjubkan di pelbagai taman flora seperti koleksi tanaman Amerika Tropika, koleksi tanaman Afrika, tanaman Asia Pasifik dan Teduhan Ara yang cukup mempersonakan.




Menyusuri sisiran tasik kita akan temui Astaka Morocco yang unik dan mengagumkan. Seni binanya bercirikan warisan Magribi yang diinspirasikan dari tumbuh-tumbuhan. Dikenakan bayaran sebanyak RM3 seorang untuk masuk ke Astaka Morocco. 



Pusat interaktif pelawat yang menawarkan aktiviti pembelajaran mengenai alam tumbuh-tumbuhan










Taman Botani Putrajaya adalah taman terbesar seumpamanya di negara ini meliputi kawasan seluas 92 hektar.
Taman itu terbahagi kepada tiga bahagian, bunga-bungaan, taman hiasan dan penyelidikan. 
Taman itu mempunyai lebih 700 spesies bunga dan tanaman termasuk dari Malaysia, Asia Pasifik dan Afrika. 

Kawasan itu juga menyediakan tempat untuk pusat penyelidikan untuk memberi peluang masyarakat melihat pelbagai jenis tumbuhan-tumbuhan.
Ibu bapa juga boleh menggunakan tempat ini sebagai pusat rujukan dan pembelajaran kepada anak-anak mengenai tumbuh-tumbuhan. 

Taman Botani Putrajaya turut menyediakan pusat kepada pelawat selain pengunjung berpeluang meneroka pelbagai khazanah menarik di taman itu. 

Anda juga boleh membawa pulang koleksi untuk teman dan saudara mara di kedai cenderahati. 


INFO: 

Tempat-tempat menarik sekitar Taman Botani Putrajaya: 

1. Jambatan Putra 

Salah satu jambatan utama di Putrajaya dengan panjang 435 meter, ia menghubungkan pusat pentadbiran kerajaan dan kawasan komersial serta perumahan di Putrajaya. 

Jambatan itu turut mengambil idea daripada seni bina Islam iaitu Jambatan Khaju di Isfahan, Iran. 

Paling menarik di jambatan itu ialah menaranya yang lengkap dengan tempat untuk pelancong melihat kawasan sekitar Putrajaya. 

Jambatan itu turut menyediakan tempat untuk pejalan kaki, kenderaan dan monorel selain tempat untuk pendaratan bot. 


2. Masjid Putra 

Antara masjid tercantik di negara ini, pembinaannya yang menggunakan batu granit boleh memuatkan kira-kira 15,000 jemaah pada satu-satu masa. 

Ia turut mengambil idea daripada beberapa masjid terkenal di dunia antaranya Masjid Raja Hassan di Casablanca, Maghribi. 

Masjid itu terbahagi kepada tiga fungsi iaitu dewan solat, dewan utama dan kemudahan pembelajaran. 

Bilik solatnya ringkas, tetapi menggambarkan seni bina Islam yang menarik dan tempat paling tinggi ialah kubah iaitu 60 meter daripada lantai. 

Menaranya turut dipengaruhi reka bentuk Masjid Sheikh Omar di Baghdad. 

Dengan ketinggian 116 meter, ia antara menara masjid paling tinggi di negara ini. 

Bagaimana ke sana 

Anda boleh menggunakan kenderaan seperti kereta, teksi, bas atau perkhidmatan keretapi laju, ERL. 

Taman Botani Putrajaya terletak kira-kira 25km dari Kuala Lumpur dan 20km di utara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).